SHAH ALAM, 4 Mac- Polis Selangor menunggu laporan perubatan bagi membantu siasatan berkaitan dakwaan seorang guru menjalin hubungan istimewa dengan anak muridnya yang berusia 12 tahun di sebuah sekolah di Dengkil, Sepang sebelum diserah kepada pihak pendakwa raya untuk tindakan lanjut.
Ketua Polis Selangor Datuk Hussien Omar Khan berkata, enam saksi telah merakam keterangan selain merampas telefon bimbit milik mangsa dan suspek untuk melakukan siasatan.
"Setakat ini pihak polis telah merakam enam keterangan saksi iaitu mangsa, bapa mangsa, guru dan juga murid serta merampas satu telefon bimbit suspek dan juga mangsa.
"Mangsa juga sudah dibawa untuk pemeriksaan di hospital dan kita mendapati mangsa ini tidak mempunyai sebarang masalah disiplin dan cemerlang dalam bidang pelajaran dan aktif dalam kokurikulum sekolah," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor di sini.
Sementara itu siasatan terhadap suspek yang telah berkhidmat selama lima tahun di sekolah tersebut mendapati suspek tidak mempunyai masalah disiplin selain mempamerkan prestasi kerja yang baik.
Beliau turut menjelaskan bahawa proses siasatan ke atas suspek yang merupakan seorang duda dan mempunyai tiga orang anak itu hampir selesai.