fb fb fb fb fb

Guru agama maut selepas pacuan empat roda terbabas

FOTO FB Jabatan Bomba Dan Penyelamat Malaysia Terengganu

DUNGUN, 8 Januari -Seorang guru agama maut selepas kenderaan pacuan empat roda dipandunya terbabas dan terbalik di Dungun, Terengganu pagi tadi.
 
Kemalangan dipercayai berlaku kira-kira jam 8 pagi tadi di kilometer 76, Jalan Jerangau-Jabur, berhampiran Pusat Koreksional Dungun, dekat Bandar Bukit Besi, Dungun.

Dalam kemalangan itu mangsa, Abd Rashid Mohd Nor, 48 tahun, guru Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Jerangau maut di lokasi kejadian akibat kecederaan parah pada kepala dan anggota badan.
 
Ketua Polis Daerah Dungun, Superintenden Maizura Abdul Kadir berkata, ketika kejadian mangsa yang bertugas sebagai pengawas peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) sedang dalam perjalanan bertugas dari SMK Jerangau ke SMK Padang Pulut, Dungun.
 
Sejurus tiba di lokasi kejadian, Toyota Hilux dipandu mangsa dipercayai hilang kawalan lalu terbabas ke kiri jalan dan terbalik beberapa kali dan menyebabkan mangsa tercampak keluar.
 
Menurut Superintenden Maizura, mangsa dipercayai turut dihempap kenderaan dipandunya itu dan mengalami kecederaan parah serta disahkan maut oleh pasukan perubatan Klinik Kesihatan Bandar Bukit Besi yang tiba sejurus kejadian.
 
Sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Bandar Al Mukhtafi Billah Shah (AMBS) mengambil masa kira-kira 10 minit untuk mengeluarkan mangsa dari kenderaan itu.
 
Mayat mangsa kemudiannya dihantar ke Unit Forensik Hospital Dungun untuk tindakan lanjut.
 
Kes berkenaan akan disiasat di bawah seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD