BINTULU, 15 Disember - Kerajaan Sarawak menerusi Pusat Khidmat Dewan Undangan Negeri (DUN) di seluruh Sarawak terus mengagihkan geran kepada persatuan, badan bukan kerajaan (NGO), kelab sukan atau sekolah dan agama agar kesaksamaan dapat dinikmati bersama.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jepak, Iskandar Turkee berkata pengagihan peruntukan geran adalah bagi membantu badan bukan kerajaan, pendidikan, sukan dan agama melaksanakan aktiviti atau keperluan mereka.
"Dengan adanya geran-geran itu saya harap gunakan dengan secara berhemah untuk menggerakkan aktiviti-aktiviti dalam masyarakat, yang melibatkan golongan belia.
"Jangan ada budaya berbangga menyimpan geran banyak sehingga tidak dibelanjakan, ia tidak baik," katanya pada Majlis Penyerahan Cek Projek Kecil Luar Bandar di Pejabat Residen Daerah Bintulu pada Rabu lalu.
Pada masa sama katanya, pihak yang menerima geran untuk menganjurkan aktiviti perlu memberikan laporan bergambar supaya dapat diaudit untuk memastikan geran tersebut digunakan dengan betul serta untuk rujukan supaya peruntukan susulan dapat ditambah pada masa akan datang.
Beliau berharap peruntukan tersebut dapat memberi manfaat kepada golongan belia agar tidak terjebak dengan gejala tidak sihat serta merangkumi semua spectrum komuniti di peringkat akar umbi ke arah lebih bersatu padu dan harmoni.
Sebanyak RM282,000 telah diagihkan kepada 54 penerima yang terdiri daripada persatuan, kelab dan badan bukan kerajaan.