fb fb fb fb fb

Guna nama Kementerian Komunikasi taktik terbaharu perdaya mangsa

Foto Hiasan

KULAI, 20 April - Taktik terbaharu sindiket penipuan menggunakan nama Kementerian Komunikasi sebagai modus operandi untuk memperdaya orang ramai, kata Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching.

Katanya, maklumat pegawai yang tertera di laman web kementerian memudahkan mereka untuk melakukan penipuan dengan menghubungi orang awam melalui panggilan telefon.

"Jadi memang ada kes mangsa panggil semula kami dan memang itu memang nombor kami (Kementerian Komunikasi) atau nombor polis atau mahkamah tetapi mereka ini sebenarnya scammer. Jadi ini agak susah untuk kita kesan atau jejak mereka. Jadi itu adalah cabaran yang kita hadapi," kata Teo Nie Ching kepada pemberita dalam Program Sumbangan Hari Raya Aidilfitri kepada 225 keluarga Kulai di Kompleks Penghulu Mukim Sedenak. 

Sementara itu, sebanyak 35,500 hantaran di media sosial melibatkan unsur penipuan pelaburan dan perjudian telah dipadamkan hingga Mac.

Teo berkata, sebanyak 6,987 hantaran membabitkan penipuan pelaburan dan penyamaran di laman web manakala 28,513 lagi berkaitan perjudian di media sosial.

Beliau menasihatkan orang ramai supaya tidak mudah terpedaya dengan penipuan melalui panggilan telefon yang menggunakan nama kementerian dan semak terlebih dahulu terutama melibatkan urusan kewangan. 

Pemantauan akan terus dijalankan bagi mengekang hantaran penipuan itu daripada terus meningkat dan orang ramai yang mempunyai sebarang aduan boleh laporkan kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) agar tindakan boleh diambil.

TETITIA YUSOFF