fb fb fb fb fb

Lim Guan Eng disiasat sentuh isu 3R

(Lim Guan Eng)

KUALA LUMPUR, 9 Julai - Pengerusi DAP, Lim Guan Eng sedang disiasat Bukit Aman berhubung kenyataan yang dipercayai menyentuh isu 3R (bangsa, agama dan raja), hari ini.

Menurut Timbalan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah, Bukit Aman Datuk G.Suresh Kumar, Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengesahkan telah menerima beberapa laporan polis dan siasatan masih dijalankan.

“Laporan polis yang diterima itu berkaitan kenyataan Guan Eng yang dipercayai menyentuh isu 3R dengan mendakwa 'gelombang hijau' bakal memusnahkan tokong dan menafikan hak agama di Pulau Pinang.

"Kenyataan itu dipercayai diucapkan beliau semasa berucap dalam program 'Tian Fu Gong Bai Long Wang Singapore - Malaysia Tour 2023' di Tokong Batu, Jelutong, Pulau Pinang pada 7 Julai lalu.

"Pada 8 Julai lalu (semalam), media dalam talian turut menyiarkan artikel berhubung kenyataan Pengerusi DAP itu," katanya menerusi kenyataan hari ini.

Susulan itu, Unit Siasatan Jenayah Terkelas, Bahagian D5, Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman kini memulakan siasatan terhadap Guan Eng berhubung isu tersebut.

Menurutnya, Guan Eng disiasat mengikut Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948, Seksyen 505 (b) Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

“Orang ramai dinasihatkan agar tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh mengganggu proses siasatan,” katanya.

Suresh Kumar menegaskan tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana pihak yang bertindak menggugat ketenteraman awam dan keselamatan negara.

(Lim Guan Eng)

Media Baharu