KUALA LUMPUR, 3 Oktober - Malaysia sedang giat berusaha memastikan aktivis negara yang ditahan tentera Zionis dapat dibawa pulang dengan bantuan Turkiye.
Usaha itu dijangka mengambil masa satu atau dua hari ini.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memaklumkan beliau telah menyampaikan permintaan tersebut secara langsung kepada Presiden Turkiye, Recep Tayyip Erdogan, dalam perbualan rasmi mereka semalam.
Selain itu, beliau turut memohon agar rakyat Malaysia yang ditahan bersama-sama aktivis Turkiye dibawa ke Istanbul untuk tindakan susulan.
"Setakat ini maklumat yang disampaikan Majlis Keselamatan Turkiye ialah mereka ini akan dibawa bersama dengan tahanan Turkiye yang lain.
"Jadi mereka bawa pesawat khas dari Turkiye untuk mengambil rakyat mereka, pada masa sama saya minta jasa baik bawa sekali anak-anak Malaysia ke Istanbul, dari situ Inshaallah kita bawa mereka pulang," katanya selepas menunaikan solat Jumaat di Masjid Al-Khadijah di Pantai Dalam.
Perdana Menteri menyifatkan pengorbanan sukarelawan Global Sumud Flotilla (GSF) itu sangat besar kerana berjaya membuka mata masyarakat dunia terhadap kezaliman Israel.
“Mereka ini tidak membawa senjata, tidak membunuh, hanya makanan, minuman dan perubatan. Jadi tuduhan Israel melabelkan mereka sebagai pengganas adalah satu kenyataan yang biadab,” tegasnya.
Menurut beliau, apa yang paling utama kini ialah menyelamatkan nyawa aktivis dan memastikan bantuan kemanusiaan sampai kepada rakyat Gaza.