
KUCHING, 7 Februari – Gabungan Parti Sarawak (GPS) akan mengadakan perhimpunan agung pertamanya pada 19 April ini bertempat di Pusat Konvensyen Borneo Kuching.
- Perhimpunan agung pertama GPS dijadualkan pada 19 April di Pusat Konvensyen Borneo Kuching.
- Jawatankuasa Induk dipengerusikan Timbalan Premier Sarawak, Datuk Douglas Ugah Embas.
- Tema menumpu pencapaian Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 2030 (PCDS 2030) Sarawak.
Setiausaha Agung GPS, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi, berkata Jawatankuasa Induk perhimpunan berkenaan akan dipengerusikan oleh Timbalan Premier Sarawak, Datuk Douglas Ugah Embas.
“Jumlah perwakilan jemputan yang akan menghadiri perhimpunan itu bagaimanapun masih belum dimuktamadkan.
“Tema perhimpunan akan memberi tumpuan kepada pencapaian Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 2030 (PCDS 2030) Sarawak,” katanya.
Perhimpunan berkenaan merupakan yang pertama dianjurkan GPS sejak gabungan politik itu ditubuhkan pada 2019.
Beliau memaklumkan perkara tersebut kepada media selepas Mesyuarat Kepimpinan Tertinggi GPS yang berlangsung di Ibu Pejabat Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) di sini, hari ini.
Mesyuarat berkenaan dipengerusikan oleh Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg.
Turut hadir ialah Presiden Parti Rakyat Sarawak, Datuk Seri John Sikie Tayai; Presiden Parti Rakyat Bersatu Sarawak, Datuk Dr Sim Kui Hian serta Presiden Parti Demokratik Progresif, Datuk Seri Tiong King Sing.