KOTA BHARU, 6 Februari- Kelantan mencatat peningkatan golongan ketua isi Rumah (KIR) miskin dan miskin tegar kepada lebih 78,000 sehingga 31 Januari lalu berbanding 68,000 sebelumnya.
Pengarah Jabatan Pembangunan Negeri Kelantan Unit Penyelarasan Pelaksaan (ICU) Jabatan Perdana Menteri (JPM) Jasri Kasim berkata, jumlah tersebut meliputi KIR miskin yang meningkat daripada 9,000 kepada 14,000 dalam tempoh sama.
Katanya, peningkatan juga disebabkan pendapatan garis kemiskinan (PGK) terkini yang ditetapkan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).
"Sebelum ini mereka yang tergolong dalam kategori miskin tegar di Kelantan lebih kurang 9,000, kini meningkat kepada 14,000.
"Angka ini menjadi cabaran kepada kita untuk memastikan kita boleh menoktahkan miskin tegar di Kelantan,"katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Makan Malam Media Pejabat Pembangunan Negeri Kelantan ICU JPM di Kota Bharu malam tadi.
Mengulas lanjut, beliau berkata, pertumbuhan pembangunan secara organik mungkin mengambil masa yang lama bagi meningkatkan serta mengimbangi taraf hidup rakyat di Kelantan.
Beliau berkata, bagaimanapun pihaknya sudah membentangkan kertas Strategik Menoktahkan Miskin Tegar di Kelantan 2024 pada Mesyuarat Jawatankuasa Fokus Group Pembasmian Kemiskinan Peringkat Negeri Kelantan.