GKMM disaran rangka mekanisme sokongan veteran media

Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil menziarahi bekas jurukamera, Idrus Rahmat dan menyampaikan sumbangan melalui Tabung Kasih@HAWANA/FB Fahmi Fadzil

JOHOR BAHRU, 16 Februari -Gabungan Kelab Media Malaysia (GKMM) disaran merangka dan mengemukakan cadangan khusus bagi memperkukuh kebajikan bekas pengamal media, termasuk membentuk mekanisme sokongan yang lebih sistematik untuk veteran industri berkenaan.

RINGKASAN BERITA AI
  • GKMM disaran sediakan cadangan khusus untuk memperkukuh kebajikan bekas pengamal media.
  • Mekanisme sokongan sistematik bagi veteran media perlu dirangka sebelum HAWANA.
  • Contoh persatuan veteran seperti RTM dapat mengumpul bekas pekerja dan susun bantuan sesuai.
  • Inisiatif Tabung Kasih@HAWANA telah bantu ramai penerima dan akan diteruskan.

Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata cadangan itu boleh dibincangkan sebelum berlangsungnya Hari Wartawan Nasional (HAWANA) sebagai langkah memperkemas bentuk bantuan serta sokongan kepada golongan terbabit.

Menurut beliau, terdapat contoh persatuan veteran dalam organisasi media yang berfungsi sebagai platform menghimpunkan bekas pekerja bagi membolehkan mereka terus berinteraksi serta menyusun bentuk bantuan yang bersesuaian.

“Ada sesetengah agensi seperti RTM mempunyai persatuan veteran yang memberi ruang kepada bekas pekerja untuk bersosial dan berkumpul.

“Melalui pendekatan itu, mereka boleh menyusun bentuk bantuan atau perancangan yang sesuai untuk veteran. Ia satu idea yang baik,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menziarahi bekas pengamal media sempena program Ziarah Tabung Kasih@HAWANA di sini, hari ini.

Datuk Fahmi memaklumkan sejak inisiatif Tabung Kasih@HAWANA diperkenalkan pada April 2023, seramai 644 individu telah menerima bantuan dan usaha berkenaan akan diteruskan dari semasa ke semasa.

Antara penerima yang diziarahi ialah bekas jurukamera, Idrus Rahmat, yang meluahkan rasa terharu atas keprihatinan yang diberikan.

“Saya rasa terharu sebab masih ada yang mengingati bekas pengamal media.

“Bantuan ini saya gunakan untuk keperluan kesihatan dan membaiki rumah yang bocor,” katanya.

Seorang lagi bekas wartawan, Low Sock Ken, turut menyatakan penghargaan atas kunjungan tersebut.

“Saya gembira dan terharu kerana masih ada menteri yang datang melawat kami.

“Hari ini juga hari besar kaum Tionghua, saya ucap terima kasih kepada Kementerian Komunikasi,” katanya.