fb fb fb fb fb

GISBH : Takut ditangkap, tidak mampu jaga punca tidak tuntut anak

Datuk Seri Nancy Shukri

TUMPAT, 5 Disember- Takut ditangkap dan tidak mampu menjaga anak masing-masing akibat masalah kewangan selepas hilang punca pendapatan antara faktor yang menyebabkan ibu bapa pengikut Global Ikhwan Holdings Sdn Bhd (GISBH) tidak menuntut 130 kanak-kanak yang berada bawah jagaan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Nancy Shukri berkata, pihak terbabit sepatutnya tidak perlu takut untuk bertemu dengan JKM bagi menuntut anak-anak itu kerana tiada tindakan akan diambil ke atas mereka.

"Kita perlu melalui proses mahkamah sehingga ibu bapa takut ditangkap oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) malah ada yang tidak mampu menjaga anak masing-masing.

"Kesemua aspek berkaitan penjagaan anak-anak pengikut GISBH memerlukan proses mahkamah. JKM perlu memohon untuk melindungi dan untuk menyerahkan kembali kepada ibu bapa masing-masing.

"Proses itu berjalan perlahan berikutan ibu bapa mahu tidak berjumpa JKM apabila ia turut melibatkan PDRM. Mereka takut ditangkap jadi kalau mereka tiada tindakan lanjut (NFA)sepatutnya mereka tidak perlu takut," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melawat penduduk terjejas banjir di pusat pemindahan sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan Seri Tumpat 2, di sini.

Menurut Nancy, JKM perlu mengembalikan semula kanak-kanak tersebut memandangkan penjagaan berkenaan mempunyai tempoh tertentu mengikut perintah mahkamah.

Media sebelum ini melaporkan, 420 daripada 560 kanak-kanak diselamatkan menerusi Op Global dan diserahkan kepada keluarga masing-masing, termasuk kepada empat Orang Yang Layak dan Sesuai (OYLS).

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI