fb fb fb fb fb

GISBH: Penjaga rumah amal mengaku tidak bersalah, aniaya kanak-kanak

Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR, 4 Oktober- Seorang penjaga rumah amal yang dikaitkan dengan GISB Holdings Sdn Bhd (GISBH) dihadapkan ke mahkamah atas tuduhan menganiaya seorang kanak-kanak lelaki.

Bagaimanapun, tertuduh mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Selayang, hari ini.

Mohd Syahid Hanapiah, 35 tahun didakwa telah menganiaya mangsa dengan cara merotan kanak-kanak tersebut yang boleh menyebabkan kecederaan.

Kesalahan didakwa dilakukan di sebuah rumah amal di Bandar Country Homes, Rawang pada Februari hingga September, tahun ini.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 dan boleh dihukum bawah Seksyen 31(1) akta sama, yang membawa hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara maksimum 20 tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya (TPR) Nurilya Ellyna Nor Azmal tidak menawarkan jaminan terhadap tertuduh.

Bagaimanapun, beliau berkata pihak pendakwaan mencadangkan wang jaminan RM20,000, sekiranya pihak mahkamah mengguna pakai budi bicara berserta syarat tambahan.

Syarat tersebut adalah tertuduh dilarang keras berjumpa dan mengganggu mangsa selain melaporkan diri di balai polis serta boleh dihubungi pihak berkuasa pada bila-bila masa.

Hakim Lailatul Zuraida Harron@Harun membenarkan tertuduh diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan seperti dimohon pihak pendakwaan.

Ia selepas tertuduh membuat rayuan jumlah jaminan dikurangkan dengan alasan dia mempunyai masalah kewangan.

Mahkamah menetapkan 5 November ini untuk sebutan kes dan lantikan peguam.

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM