fb fb fb fb fb

GiatMARA Perlis terima kemasukan 170 pelatih baharu

Antara pelatih baharu yang mendaftar bagi mengikuti program di GiatMARA Perlis

KANGAR, 3 Januari- GiatMARA akan terus memainkan peranannya bagi menyediakan latihan kemahiran teknikal dan vokasional kepada belia-belia di luar bandar dan bandar seluruh Perlis sepanjang tahun ini.

Usaha proaktif ini bagi membolehkan lebih ramai golongan belia mendapat latihan sebagai persediaan menjadi tenaga kerja mahir dan usahawan bagi memenuhi keperluan industri dan ekonomi serta keusahawanan di kawasan setempat mahupun dalam negara dan peringkat antarabangsa.

Menurut Pengarah GiatMARA Negeri, Harun Radzi, tiga pusat GiatMARA di Kangar, Padang Besar dan Arau kini menawarkan 170 tempat untuk belia mengikuti 12 kursus yang disediakan termasuk 1 kursus lanjutan mengikut minat dan kebolehan pelatih dengan tempoh latihan antara 3 bulan sehingga setahun untuk kemasukan Januari 2024.

Antara kursus ditawarkan ialah masakan dan pramusaji, terapi kecantikan dan solekan, baik pulih telefon pintar, pendawaian elektrik dan teknologi automotif serta penyejuk bekuan dan penyaman udara selain jahitan.

Beliau memaklumkannya pada Majlis Taklimat dan Suaikenal 50 Pelajar Baharu di Pusat GiatMARA Kangar.

Bagi kemasukan kali ini, seramai 60 pelatih akan mengikuti empat kursus ditawarkan di GiatMARA Kangar, manakala 110 pelatih lagi akan mengikuti lapan kursus di GiatMARA Arau dan Padang Besar.

Lebih 6,499 pelatih berjaya mengikuti dan menamatkan latihan kemahiran di tiga buah pusat GiatMARA yang terdapat di Perlis sejak tahun 1987 sehingga kini.

Secara keseluruhan 100 peratus pelatih GiatMARA mendapat pekerjaan dalam pelbagai sektor setelah tamat mengikuti latihan, selain melanjutkan pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi dan menjadi usahawan.

ROSLINA BINTI DIN