fb fb fb fb fb

Generasi muda diseru pastikan negara bebas rasuah

Foto hiasan

KUANTAN, 15 Disember- Generasi muda diseru untuk memikul amanah besar dalam memastikan Malaysia kekal maju dan bebas daripada belenggu rasuah, kata Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan) Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Azmi Kamaruzaman.

Golongan muda, khususnya pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) mempunyai peranan penting sebagai agen perubahan dalam membina masa depan negara berintegriti.

"Sebenarnya dalam keadaan sekarang kita mungkin tidak nampak, tetapi untuk jangka masa panjang ia akan memberikan kesan terhadap negara.

"Sekiranya integriti tidak ditangani, kita khususnya pelajar-pelajar di bahagian zon Timur adalah sebahagian ejen yang akan melakukan perubahan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penutupan Program Kem Angkatan Mahasiswa Antirasuah (AMAR) Institusi Pengajian Tinggi Zon Timur 2024 di Auditorium Akademi Maritim Sultan Ahmad Shah (AMSAS) di sini.

Seramai 88 pelajar IPT dan kolej menyertai kem berkenaan dengan pengisian pelbagai aktiviti seperti bengkel, seminar dan sesi interaktif.

Bertemakan "Mahasiswa Tolak Rasuah, Penggerak Negara MADANI", kem AMAR diadakan dengan kerjasama Bank Pembangunan Malaysia Berhad (BPMB) dan SPRM dengan fokus membangunkan pemimpin masa hadapan berintegriti.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI