fb fb fb fb fb

Generasi muda adalah ejen perubahan dalam menjaga alam sekitar

Program pendidikan murid-murid mengenai pentingnya menjaga kelestarian alam sekitar di SK Seberang Jaya, Pulau Pinang disertai lebih 1,100 murid sekolah

SEBERANG JAYA, 4 Februari – Program “Be Green Outreach” yang diadakan di Sekolah Kebangsaan Seberang Jaya, Pulau Pinang bermatlamat menyemai kesedaran mengenai pentingnya menjaga kelestarian alam menerusi pendidikan di peringkat sekolah rendah.

Menurut Timbalan Rektor Hal Ehwal Pelajar Universiti Teknologi Mara (UiTM) Cawangan Pulau Pinang, Dr. Ahmad Asri Abd Samat, program itu disifatkan sebagai satu usaha kecil pada hari ini tetapi menjadi pelaburan besar untuk masa depan.

“Program ini bukan sekadar inisiatif pendidikan kepada generasi muda tetapi juga satu perjalanan bermakna untuk mencetuskan perubahan dalam cara kita memandang dan menjaga alam sekitar.

“Ia berjaya diadakan di SK Seberang Jaya hasil kerjasama erat institusi pendidikan, industri dan komuniti. Program ini membuktikan bahawa pendidikan berimpak tinggi boleh dicapai menerusi kerjasama bersepadu pelbagai pihak,” jelas beliau dalam ucapan perasmian program.

“Be Green Outreach Programme” ini bertujuan meningkatkan kesedaran murid-murid sekolah terhadap kepentingan kelestarian alam sekitar terutamanya berkaitan pengurusan sisa plastik.

Modul digunakan mengutamakan aspek pendidikan sebagai kunci bagi menyemai kesedaran terhadap kelestarian alam dalam kalangan generasi muda.

Program ini disertai lebih 1,100 pelajar termasuk murid Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI) yang mendapat pendedahan tentang pengurusan sisa plastik menerusi modul “Plastik, Kelestarian dan Anda”.

Peserta diajar mengenai pelbagai fakta saintifik tentang sifat plastik, sejarah dan kitaran hayat sisa berkenaan selain mendedahkan peserta aspek pengurusan sisa pepejal menggunakan konsep 3R (Reduce, Reuse & Recycle).

Aktiviti interaktif turut diterapkan bagi meningkatkan kefahaman peserta menerusi program “Pengasingan Di Punca” yang membolehkan murid-murid sekolah mendapat pengalaman langsung berkaitan pengurusan sisa yang betul.

Selain itu, aktiviti eksperimen sains berkaitan plastik seperti pelaksanaan konsep “Trash to Art” mengajar mereka bagaimana sisa dapat digubah menjadi seni yang menambah nilai kepada sisa buangan.

Menurut Guru Besar SK Seberang Jaya, Che Asa Chat, program berkenaan menjadi ruang kepada peserta untuk memahami tanggungjawab mereka terhadap alam sekitar dan mengamalkan apa yang telah dipelajari dalam kehidupan harian.

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD