KUALA LUMPUR, 20 Januari - Kejadian di Gaza baru-baru ini memberi tamparan hebat kepada rejim Netanyahu yang gagal mencapai matlamatnya untuk menghapuskan pejuang Hamas.
Menurut Pensyarah Pusat Pengajian Antarabangsa Universiti Utara Malaysia (UUM), Dr. Norafidah Ismail, pejuang Hamas kini dilihat sebagai simbol perjuangan yang kuat, dengan sokongan besar dari seluruh negara untuk membebaskan tanah air mereka daripada penjajahan Zionis.
"Ketika kempen ketenteraan dilakukan, rejim Zionis berhasrat untuk mengusir semua penduduk Palestin di Gaza ke Semenanjung Sinai.
"Namun begitu, Mesir menolak idea ini atas alasan keselamatan dan juga politik. Begitu juga dengan negara-negara Arab lain serta masyarakat antarabangsa," katanya ketika dihubungi Berita RTM baru-baru ini.
Beliau turut menyatakan bahawa walaupun Gaza kini berada dalam keadaan sukar akibat serangan, rakyatnya tetap tabah mempertahankan tanah air mereka.
"Apa yang berlaku hari ini adalah kita akan menyaksikan kepulangan rakyat Gaza ke utara Gaza, dan mereka akan meneruskan kehidupan walaupun berada di bawah runtuhan bangunan disebabkan oleh pengeboman," tambahnya.
Jelas beliau, proses pemulihan Gaza turut bergantung kepada kestabilan politik serta kerjasama masyarakat antarabangsa.
"Sekatan Israel yang berterusan akan menjadi halangan utama kepada penghantaran bahan bantuan kemanusiaan serta usaha pembinaan semula.
"Harapan yang sangat tinggi terhadap gencatan senjata ini adalah untuk membawa keamanan yang stabil ke bumi Gaza dan penduduknya dengan harapan memberi laluan bagi penghantaran bantuan kemanusiaan seperti perubatan, makanan, dan keperluan asas lain," kata beliau.
Beliau turut menekankan kepentingan masyarakat antarabangsa, khususnya pemimpin dunia Islam, untuk bersatu mempertahankan serta membebaskan tanah Palestin.
Gencatan senjata dikuatkuasakan pada Ahad dengan membebaskan tiga tahanan Israel pada malam Ahad waktu tempatan. Bagaimanapun, setakat ini belum ada tebusan rakyat Palestin dibebaskan.
Rundingan gencatan senjata telah mencapai persetujuan berperingkat pada Rabu lalu untuk menamatkan krisis kemanusian selepas 15 bulan di Gaza antara Israel dan Hamas.
Fasa pertama perjanjian ini melibatkan pembebasan 33 tebusan Israel, termasuk semua wanita, kanak-kanak dan lelaki berusia lebih 50 tahun.
Serangan tanpa henti daripada Zionis Israel sejak 7 Oktober tahun lalu telah meragut puluhan ribu nyawa rakyat Palestin dan memburukkan keadaan di Asia Barat.
Manakala, seramai 2.3 juta orang kehilangan tempat tinggal.