fb fb fb fb fb

Gencatan senjata kekal, solusi dua negara mampu atasi konflik di Palestin - PM

Anwar Ibrahim

BERLIN, 12 Mac- Konflik di Palestin terutama di Gaza mampu diatasi menerusi gencatan senjata kekal dan solusi dua negara, jelas Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Tegasnya, komuniti antarabangsa perlu merealisasikan penyelesaian dua negara bagi menoktahkan konflik yang sudah berlanjutan selama beberapa dekad di negara itu.

"Hakikatnya telah empat dekad rampasan dan pengambilalihan (tanah) milik rakyat Palestin. Jadi mari kita bergerak ke hadapan dan saya bersetuju dengan apa dikatakan oleh Canselor (Canselor Jerman, Olaf Scholz ) mengenai penyelesaian dua negara.

" (Ia) bagi memastikan kedua-duanya mendapat keamanan dan saling bekerjasama, memastikan pembangunan ekonomi dan kemajuan untuk rakyat di kawasan itu.

"Adakah kita membincangkan sejarah? Kita membincangkan kekejaman masa lalu atau kita membincangkan cara menyelesaikan masalah itu sekarang? (Akan tetapi) masalahnya sekarang adalah memisahkan diri daripada permusuhan.

"Hentikan pembunuhan. Seluruh komuniti antarabangsa perlu memastikan tiada lagi tindakan keganasan oleh mana-mana kumpulan terhadap orang Islam atau Yahudi atau Kristian," katanya pada sidang media bersama Canselor Olaf Scholz di sini.

Tambah Anwar, dasar luar negara selama ini adalah konsisten dan merujuk pendirian Malaysia yang menentang aparteid serta pembersihan etnik.

Sementara itu, Scholz berkata, Jerman yang dikenali sebagai sekutu Israel turut bersetuju dengan Malaysia bahawa gencatan senjata kekal perlu dilaksanakan di Gaza.

Jelasnya, Jerman kini menjalin kerjasama rapat dengan Amerika Syarikat dan negara-negara Arab bagi mengekang pertempuran menjadi lebih buruk di wilayah berkenaan, selain mencari penyelesaian kepada konflik tersebut.

1203 PM PALESTIN 3
Anwar Ibrahim dan Olaf Scholz

 
ARTIKEL BERKAITAN
Malaysia, Jerman gesa titik noktah konflik berterusan di Gaza
PM Anwar tiba di Berlin untuk lawatan rasmi lima hari
Anwar alu-alukan lebih banyak perniagaan Jerman melabur di Malaysia

SITI AISHAH MD ISA