
KUALA LUMPUR, 23 Februari – Gempa bumi kuat 6.8 pada skala Richter dilaporkan berlaku di perairan Kota Kinabalu, pada pukul 12.57 tengah malam.
RINGKASAN BERITA AI
- Gempa dirasai di Pantai Barat Sabah dan beberapa kawasan Sarawak, menyebabkan kebimbangan penduduk setempat.
- Tiada ancaman tsunami dilaporkan setakat ini, mengurangkan risiko segera kepada kawasan pesisir.
- MetMalaysia menasihatkan orang ramai merujuk maklumat sahih melalui saluran rasmi termasuk mygempa.met.gov.my.
Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) dalam kenyataan memaklumkan, gempa berkenaan berpusat pada koordinat 7.0 darjah Utara dan 116.4 darjah Timur.
Gegaran dikesan pada jarak kira-kira 49 kilometer barat dari Kudat, Sabah dengan kedalaman 678 kilometer.
Ia turut dirasai di sekitar Pantai Barat Sabah dan beberapa kawasan di Sarawak.
Setakat ini, tiada ancaman tsunami dilaporkan.
MetMalaysia memaklumkan pihaknya akan terus memantau keadaan semasa dan menasihatkan orang ramai supaya mendapatkan maklumat sahih melalui saluran rasmi jabatan berkenaan termasuk laman sesawang mygempa.met.gov.my.