PUTRAJAYA, 26 Jun - Perkhidmatan awam perlu menggembleng seluruh kekuatan dan tenaga bagi menghadapi cabaran dan kemelut ekonomi demi memastikan visi membina Malaysia MADANI, Maju dan Sejahtera Menjelang 2030 dapat direalisasikan.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Dr Zaliha Mustafa berkata, penjawat awam perlu menunjukkan komitmen dan kerjasama literasi yang tidak berbelah bahagi dalam usaha menjayakan aspirasi Malaysia MADANI.
Jelasnya menerusi era teknologi digital penjawat awam digalakkan memanfaat perkembangan platform digital selaras dengan nilai berasaskan teknologi yang dapat digerakkan dengan pantas.
Ia sekali gus mendorong anjakan paradigma daripada pemikiran lapuk kepada budaya kerja berprestasi tinggi dipacu elemen digital dalam setiap tugasan.
"Saya percaya aplikasi elektronik dalam kerajaan ini boleh membawa kepada penyampaian perkhidmatan kerajaan yang lebih baik, membaiki interaksi dengan perniagaan dan industri, memperkasa rakyat melalui akses kepada maklumat atau mengurus dan mentadbir kerajaan dengan lebih cekap.
"Melalui senario, cabaran domestik dan global pada masa kini penjawat awam juga perlu sentiasa mengubah kaedah penyampaian perkhidmatan kepada rakyat supaya perkhidmatan awam terus diyakini dan dihormati," kata Dr Zaliha berucap pada Majlis Aspresiasi Tahun 2024 Jabatan Perdana Menteri, di sini.
Jelasnya lagi penjawat awam juga perlu mencari kaedah-kaedah baru dalam meneroka pelbagai teknologi yang muncul setiap hari, sama ada menerusi kecerdasan buatan (AI) atau sebarang kaedah yang lebih terkehadapan bagi mendepani cabaran semasa.
Seramai 881 orang menerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang Tahun 2023 dan lima penerima Pingat Perkhidmatan Cemerlang bagi tahun 2021, 2022 dan 2023.
Turut dirai ialah seramai 133 orang pegawai yang telah atau akan bersara pada tahun 2024.