fb fb fb fb fb

Gelombang pertama banjir Kelantan, tiada aduan seludup barang kawalan - KPDN

Pengarahnya, Azman Ismail berkata setiap kali berlaku musim banjir, air Sungai Golok akan melimpahi tebing dan menjadi faktor utama berlaku penyeludupan bekalan ke negara jiran.

KOTA BHARU, 23 Disember- Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kelantan mengadakan kerjasama dengan agensi penguatkuasaan dan keselamatan di sempadan Malaysia-Thailand sepanjang musim banjir bagi mengelakkan daripada berlaku aktiviti penyeludupan.

Pengarahnya, Azman Ismail berkata setiap kali berlaku musim banjir, air Sungai Golok akan melimpahi tebing dan menjadi faktor utama berlaku penyeludupan bekalan ke negara jiran.

Beliau berkata, musim Monsun Timur Laut (MTL) memberi banyak cabaran kepada agensi penguat kuasa apabila paras air Sungai Golok meningkat, namun mereka tetap komited melaksanakan tanggungjawab supaya sempadan negara tidak mudah dibolosi oleh penyeludup terutama ketika berlaku banjir.

"Walaupun sukar nak tak nak kita kena buat itulah tugasan kita, kita akan cuba sebaik mungkin kita ada Polis Diraja Malaysia (PDRM), kita ada Pasukan Gerakan Am (PGA), kita ada pasukan marin dan kita ada Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) beberapa agensi sempadan yang berada bertugas sepanjang masa," katanya pada sidang media selepas sesi tinjauan mesra Pematuhan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Krismas tahun 2023 di Mydin Wholesale Hypermarket Kubang Kerian di sini.

Mengulas lanjut, bagaimanapun katanya, sepanjang gelombang pertama banjir berlaku di negeri itu pada November lalu sehingga kini, pihaknya belum menerima sebarang aduan berkenaan aktiviti penyeludupan barang kawalan.

Sementara itu, Azman berkata sebanyak sembilan jenis barangan yang dikawal di bawah skim berkenaan di peringkat negeri Kelantan berkuat kuasa hari ini sehingga 27 Disember nanti.
 
Antaranya termasuk kambing biri-biri bertulang import, tomato, lobak merah dan cili merah.
 
Menurut beliau, seramai 145 orang pegawai penguat kuasa dan 82 orang pegawai pemantau harga akan membuat pemantauan dan pemeriksaan sepanjang tempoh pelaksanaan SHMMP Krismas dalam memastikan peraturan dipatuhi peniaga.

NIZAHA BINTI ABDUL KAREM