fb fb fb fb fb

GDS sedia kembang perniagaan di Johor- Onn Hafiz

Datuk Onn Hafiz mengadakan lawatan kerja ke Shenzhen, China, telah mengadakan perjumpaan bersama syarikat GDS.

JOHOR BAHRU, 4 Mac- Syarikat teknologi maklumat yang berpangkalan di China, GDS Holdings Ltd bersedia untuk mengembangkan perniagaan mereka di Johor.

Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata GDS Holdings merupakan syarikat pusat data terkemuka yang telah melabur RM14.33 bilion dengan membuka dua pusat data di Johor iaitu di Nusajaya Tech Park (NTP) dan Kempas Tech Park.

“Saya gembira apabila GDS Holdings menyatakan kesediaan untuk mengembangkan perniagaan mereka di Johor serta berkeyakinan Johor mampu menjadi sebuah hab Kecerdasan Buatan (AI) yang berdaya saing,” katanya dalam satu hantaran di Facebook pada Ahad.

Onn Hafiz yang ketika ini dalam lawatan kerja ke Zon Ekonomi Khas Shenzen, China bermula 2 Mac hingga 7 Mac berkata delegasi kerajaan negeri Johor telah mengadakan perjumpaan bersama GDS dan banyak perkara dipelajari mengenai kerangka perniagaan syarikat berkenaan.

“Saya kagum mempelajari visi dan model perniagaan mereka membangunkan pusat data, yang berjaya menjadikan China sebagai sebuah Negara Pintar dan Berekonomi Digital,” katanya.

Beliau berkata sebagai sebuah syarikat gergasi dunia, GDS kini mempunyai lebih 100 projek pusat data di seluruh Asia dan menduduki tempat kesembilan daripada 250 Syarikat Pusat Data teratas di dunia pada 2024.

“Dengan agenda penubuhan Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ), saya yakin Johor mampu menarik lebih ramai pelabur ke negeri ini dan mencipta pakej pelaburan berimpak tinggi, selain mencontohi Shenzen sebagai sebuah hab pelaburan terkemuka dunia,” katanya.

ZEHRA BINTI ZAMBRI