PUTRAJAYA, 4 Mac - Malaysia menggesa pelaksanaan segera perjanjian gencatan senjata serta akses kemanusiaan tanpa halangan ke Gaza dan memastikan bantuan disalurkan kepada lebih dua juta penduduk yang terjejas.
Wisma Putra menerusi kenyataan menegaskan bahawa semua pihak yang terlibat mesti mematuhi sepenuhnya perjanjian gencatan senjata, termasuk pertukaran tebusan dan tahanan seperti yang telah dipersetujui.
"Sebarang kelewatan atau penyimpangan daripada perjanjian ini hanya akan memburukkan krisis kemanusiaan dan menjejaskan usaha ke arah keamanan yang adil dan berkekalan," menurut kenyataan itu pada Selasa.
Malaysia turut menegaskan bahawa bantuan kemanusiaan harus diberikan tanpa sekatan atau syarat politik, selaras dengan undang-undang kemanusiaan antarabangsa, keputusan Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ), serta Resolusi 2735 (2024) Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
"Bantuan kemanusiaan harus kekal bersifat neutral, tidak berpihak, dan bebas daripada campur tangan politik," tambah kenyataan itu.
Selain itu, Malaysia mengulangi pendirian tegasnya dalam memperjuangkan hak rakyat Palestin dan menekankan kepentingan untuk memastikan gencatan senjata membawa kepada penyelesaian jangka panjang.
Ini termasuk penamatan sekatan dan kependudukan, serta penubuhan sebuah negara Palestin yang merdeka dan berdaulat dengan Baitulmaqdis Timur sebagai ibu negara.
Malaysia juga terus menyokong hak Palestin untuk menjadi anggota penuh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) sebagai langkah penting dalam mencapai kestabilan dan keamanan di rantau itu​.