KUALA LUMPUR, 21 Disember - Kualiti keibubapaan amat penting dalam membentuk keperibadian anak-anak mereka.
Timbalan Dekan Ijazah Dasar Fakulti Pendidikan Universiti Malaya (UM) Profesor Madya Dr Azmawaty Mohamad Nor berkata, gaya keibubapaan autoritatif yang menggalakkan komunikasi dua hala merupakan pilihan terbaik, memberi ruang masa dan peluang kepada anak-anak.
"Sebenarnya kalau kita mahu membentuk peribadi anak, kaedah terbaik berbalik kepada diri. Siapa yang kita hendak lihat anak kita. Kalau kita hendak anak kita berjaya, kita sendiri perlu ada, perlu mendengar, perlu mendidik. Kita nak jadi pendengar ni susah, anak tu belum habis cakap kita dah mencelah.
"Jadi, sebenarnya kualiti keibubapaan itu penting. Dalam hendak mendidik kita kena lihat diri sendiri dan jangan kita seringkali membentak anak-anak, kita mesti mendengar. Berikan mereka ruang masa untuk berfikir kerana kesedaran diri itu amat penting untuk mereka regulasikan emosi mereka," kata Dr Azmawaty.
Beliau yang juga Kaunselor Berdaftar Lembaga Kaunselor Malaysia, ditemui pemberita selepas Program Selamat Pagi Malaysia di Angkasapuri, Kota Media.
Katanya, kualiti keibubapaan itu juga mampu memastikan ibu bapa tidak terlalu permisif yang mengakibatkan anak-anak mengambil kesempatan dan menjadi tidak berdisiplin.