fb fb fb fb fb

Garis Panduan Perancangan Tapak Perkhemahan diluluskan untuk panduan pengusaha, PBT

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof mempengerusikan MNKT ke-82 yang berlangsung di Parlimen hari ini .

KUALA LUMPUR, 27 Mac- Mesyuarat Majlis Negara bagi Kerajaan Tempatan (MNKT) ke-82 yang berlangsung di Parlimen hari ini bersetuju meluluskan Garis Panduan Perancangan Tapak Perkhemahan (GPPTP) sebagai panduan merancang dan memastikan tapak perkhemahan selamat, mampan serta mematuhi perundangan.

Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) dalam kenyataan memaklumkan garis panduan untuk pengguna, pengusaha dan Pihak Berkuasa Negeri (PBN) atau Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) tersebut memfokuskan tiga aspek utama iaitu perancangan tapak, mekanisme pemajuan dan kawal selia serta pengurusan operasi tapak perkhemahan.

Juga dipersetujui Garis Panduan Pengurusan dan Penarafan Bintang Tandas Awam di Malaysia bagi menggantikan Garis Panduan Star Rating Kebersihan Tandas Kegunaan Awam di kawasan PBT.

MNKT turut bersetuju dengan Garis Panduan Kawal Selia Perniagaan Dari Rumah yang berperanan sebagai panduan kepada PBT di seluruh negara dalam melaksanakan pematuhan dan penguatkuasaan aktiviti perniagaan dari rumah.

“Aspek-aspek utama yang dirangkumkan dalam garis panduan tersebut adalah ciri-ciri perniagaan dari rumah, pelan lokasi dan keluasan kebenaran berniaga, syarat dan tatacara permohonan lesen perniagaan serta perincian aktiviti perniagaan yang dibenarkan,” menurut kenyataan itu.

Mesyuarat yang dipengerusikan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof itu turut bersetuju dan komited untuk terus menerajui agenda kemampanan perbandaran, dalam usaha menyokong pembangunan ekonomi ke arah meningkatkan kesejahteraan hidup rakyat di negara ini.

 

ZEHRA BINTI ZAMBRI