fb fb fb fb fb

Gangguan seksual, pegawai bank mengaku tidak bersalah

Foto Hiasan

IPOH, 4 Oktober- Seorang pegawai bank mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Ipoh atas dua pertuduhan melakukan gangguan seksual terhadap seorang kakitangan wanita di bank yang sama, tiga tahun lalu. 

Rosman Jamaluddin, 52 tahun membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret S.Punitha. 

Mengikut pertuduhan, dia didakwa menghantar Whatsapp berbaur lucah dengan maksud hendak mengaibkan kehormatan mangsa yang berumur 38 tahun, kira-kira pukul 10.52 malam, pada 20 Mei 2021.

Lelaki itu turut dituduh melakukan perbuatan sama kira-kira pukul 12.08 tengah malam, pada 18 Ogos 2021.

Perbuatan itu dilakukan di sebuah premis di Jalan Perajurit, Ipoh Garden East, Ipoh.

Pendakwaan dibuat bawah Seksyen 509 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara selama tempoh sehingga lima tahun, atau dengan denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan. 

Mahkamah kemudiannya membenarkan tertuduh dijamin RM2,500 untuk kedua-dua pertuduhan dengan seorang penjamin, di samping syarat tambahan tidak boleh mengganggu mangsa sehingga kes selesai.

Sebutan semula kes pada 25 November depan.

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM