
GUA MUSANG, 30 Mac – Kehidupan kira-kira 3,000 penduduk Taman Agropolitan Rantau Manis, di sini terjejas dengan sebahagian daripada mereka terpaksa menumpang mandi di Hentian Rehat dan Rawat (R&R) dan ke sungai selepas kawasan itu mengalami gangguan bekalan air sejak tiga minggu lepas.
- Gangguan bekalan air berulang setiap Ramadan dan musim perayaan sejak lebih 10 tahun, membebankan penduduk.
- Cuaca panas kini memburukkan keadaan kerana penggunaan air meningkat.
- Tiada notis awal diterima; sambutan raya tidak meriah dan kehidupan sukar, kata JKKT.
- AKSB berkata loji rawatan melebihi kapasiti akibat permintaan tinggi; bantuan lori tangki diisi dua kali sehari.
Penduduk yang ditemui memberitahu mereka perlu menghadapi situasi berkenaan setiap kali bulan Ramadan dan musim perayaan sejak lebih 10 tahun lalu.
Lebih merumitkan, gangguan ketika ini berlaku ketika cuaca panas yang memerlukan lebih banyak penggunaan air.
Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan Keselamatan Taman (JKKT) Taman Agropolitan, Roslee Ibrahim memberitahu pihaknya tidak menerima sebarang notis awal berhubung gangguan tersebut.
“Gangguan sejak tiga minggu lalu berlarutan sampai hari ini. Kita mohon supaya pihak berwajib mengambil tahu kesulitan yang dihadapi penduduk.
“Sambutan raya tidak meriah kerana sumber utama kehidupan (air) tiada. Kehidupan kami sulit,” jelasnya ketika ditemui pemberita.
Turut berkongsi luahan sama, Noraini Mamat yang merupakan seorang suri rumah.
“Masalah (gangguan bekalan air) ini sudah bertahun kami hadapi setiap kali bulan puasa dan raya.
“Memang menjejaskan kami (suri rumah), selain ibu berpantang, warga emas dan anak kecil. Pengusaha kedai makan juga terjejas. Semua orang terkesan,” ujarnya.
Dalam pada itu, Ahli Dewan Negeri (ADUN) Nenggiri, Mohd Azmawi Fikri Abdul Ghani berharap penyelesaian jangka panjang dapat dilakukan bagi mendepani isu tersebut.
“Kita mengharapkan ada penyelesaian jangka panjang dan bukan sekadar menghantar (bekalan air) untuk kegunaan pada waktu itu sahaja.
“Saya dimaklumkan masalah ini telah berlaku sejak 2014, setiap kali tiba musim perayaan. Sekarang ini sesi persekolahan telah bermula dan bekalan air memang diperlukan. Saya mengharapkan solusi daripada pihak Air Kelantan Sdn Bhd (AKSB),” katanya.
Sementara itu, Jabatan Korporat AKSB memaklumkan gangguan bekalan air di kawasan berkenaan berlaku susulan penggunaan air yang meningkat secara mendadak terutama ketika musim perayaan, sekali gus menyebabkan kapasiti loji rawatan air (LRA) melebihi tahap maksimum.
LRA Limau Kasturi yang membekalkan air ke kawasan berkenaan kini beroperasi pada kadar 5.2 juta liter sehari (JLH) berbanding kapasiti sebenar 4JLH.
Bagi mengatasi masalah tersebut, AKSB menyediakan bantuan bekalan air melalui lori tangki dengan pengisian ke tangki statik di kawasan terjejas sebanyak dua kali sehari.