fb fb fb fb fb

Gangguan bekalan air di 11 kampung mukim Keluang selesai esok

FOTO HIASAN

KUALA TERENGGANU, 18 Januari- Syarikat Air Terengganu Sdn Bhd (SATU) menerusi satu kenyataan hari ini memaklumkan kerja pembaikan dan pemasangan paip berhampiran jambatan Kampung Lampu sudah siap 83 peratus.

Ini bermakna, masalah gangguan bekalan air membabitkan 11 kampung di sekitar mukim Keluang, Besut sejak 1 Januari lalu dijangka berakhir esok.

"Kerja-kerja pembaikan dijangka siap sepenuhnya pada 19 Januari iaitu lebih awal daripada tarikh sebenar yang dijangka sebelum ini iaitu pada 21 Januari.

"SATU akan sentiasa memaklumkan perkembangan dari semasa ke semasa melalui saluran media rasmi," menurut kenyataan itu.

Pada awal bulan ini, SATU memaklumkan gangguan bekalan air itu berlaku akibat kebocoran paip bersaiz 600 millimeter di dasar Sungai Besut yang menjejaskan 2,670 akaun pengguna air dalam kawasan mukim Keluang di daerah Besut.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE