fb fb fb fb fb

Gangguan bekalan air berjadual melibatkan tujuh wilayah pada 5 Jun

Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) mengingatkan pengguna di tujuh wilayah untuk bersedia mengalami gangguan bekalan air berjadual pada 5 Jun depan / Foto Hiasan / Bernama

SHAH ALAM, 20 Mei - Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) mengingatkan pengguna di tujuh wilayah untuk bersedia mengalami gangguan bekalan air berjadual pada 5 Jun depan.

Ini berikutan kerja-kerja penyenggaraan dan penggantian aset di Loji Rawatan Air Sungai Selangor Fasa 1 (LRA SSP1) yang bermula dari 9 pagi hingga 7 malam.

Air Selangor memaklumkan pelaksanaan kerja-kerja ini akan menyebabkan gangguan bekalan air berjadual di Wilayah Petaling, Klang, Shah Alam, Gombak, Kuala Lumpur, Hulu Selangor dan Kuala Selangor.

"Air Selangor akan menggerakkan lori tangki air ke kawasan terjejas dengan memberikan keutamaan kepada premis kritikal seperti hospital, klinik, pusat dialisis dan upacara pengebumian.

"Pengguna dijangka akan menerima bekalan air secara berperingkat-peringkat bermula pada 3 pagi, 6 Jun (Khamis) selepas kerja-kerja penyenggaraan dan penggantian aset siap dan seterusnya apabila sistem agihan utama bekalan air distabilkan," kata Air Selangor menerusi kenyataan.

Air Selangor turut menasihatkan pelanggan yang terjejas untuk bersedia dengan menyimpan bekalan air secukupnya dan menggunakan air secara berhemah sepanjang tempoh gangguan bekalan air berjadual tersebut.

Pengguna boleh mendapatkan maklumat berhubung gangguan bekalan air berjadual ini dari semasa ke semasa menerusi saluran komunikasi rasmi https://waterupdates.airselangor.com/.

"Pengguna juga boleh mendapatkan maklumat menerusi saluran komunikasi rasmi alternatif seperti aplikasi Air Selangor, Facebook, Instagram dan X atau hubungi Air Selangor di talian 15300 atau layari https://www.airselangor.com/," menurut kenyataan itu.

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN