GEORGE TOWN, 15 Disember- Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) memaklumkan sebanyak 9,000 pengguna di kawasan Lebuhraya Thean Teik dan berdekatan Air Itam akan mengalami gangguan bekalan air berjadual selama 12 jam pada 21 Disember ini.
Menerusi satu kenyataan, Ketua Pegawai Eksekutifnya, K Pathmanathan berkata gangguan yang dijadual bermula 9 pagi hingga 9 malam itu disebabkan kerja-kerja penyambungan saluran paip bekalan air yang dialihkan untuk memudahkan projek Lebuhraya Tun Dr Lim Chong Eu ke Jejambat Air Itam.
"Kerja-kerja penyambungan saluran paip bekalan air yang dialihkan akan dijalankan pada hari Khamis di lima tempat di dua lokasi berhampiran iaitu persimpangan Lebuhraya Thean Teik/Lintang Angsana dan Persimpangan Lebuhraya Thean Teik/pasar Farlim.
''Kerja-kerja penyambungan itu adalah terkait dengan pembinaan projek Jejantas Lebuhraya Tun Dr Lim Chong Eu ke Air Itam yang dilaksanakan oleh kerajaan negeri Pulau Pinang bawah Bahagian Pembangunan Ekonomi Negeri,'' katanya dalam kenyataan tersebut.
Pathmanathan berkata bagi memudahkan kerja-kerja penyambungan paip, PBAPP perlu menutup sementara saluran paip 600mm MS (keluli lembut) di kawasan itu.
"PBAPP memohon maaf atas kesulitan yang akan berlaku akibat gangguan bekalan air berjadual selama 12 jam itu dan semua pengguna yang terjejas digalakkan menyimpan air mencukupi untuk kegunaan dari 9 pagi hingga 9 malam pada Khamis depan," katanya.
Selain itu, beliau berkata semua premis domestik hendaklah dilengkapi dengan tangki air dalaman untuk menyimpan bekalan air yang mencukupi untuk kegunaan 24 jam.