Gangguan air di Pontian & Simpang Renggam bukan akibat pembangunan pusat data

FOTO FB Fazli Salleh

PONTIAN, 18 Februari – Kerajaan Johor menyangkal dakwaan tular di media sosial yang mengaitkan gangguan bekalan air di Pontian dan Simpang Renggam, Kluang dengan pembangunan pusat data, sambil menegaskan tuduhan berkenaan tidak benar serta tidak berasas.

RINGKASAN BERITA AI
  • Kerajaan Johor nafi dakwaan gangguan air berkaitan pembangunan pusat data.
  • Gangguan adalah akibat penyusutan paras sumber air mentah susulan kemarau panjang.
  • Paras air sekitar 4.66 meter, belum mencapai tahap optimum untuk operasi pam maksimum.
  • Tiada pusat data menerima bekalan air di Simpang Renggam dan Benut, kawasan bukan lokasi pembangunan pusat data.

Exco Kerja Raya, Pengangkutan, Infrastruktur dan Komunikasi negeri, Mohamad Fazli Mohamad Salleh berkata gangguan bekalan air berjadual sebelum ini berpunca daripada penyusutan paras sumber air mentah susulan kemarau berpanjangan.

“Walaupun hujan mula turun, paras air ketika ini direkodkan sekitar 4.66 meter dan masih belum mencapai tahap optimum.

“Keadaan itu mengehadkan penggunaan pam secara maksimum sekali gus menjejaskan pengeluaran air terawat, menyebabkan pelaksanaan bekalan air berjadual bagi memastikan agihan lebih seimbang kepada pengguna,” katanya.

Pada masa sama, kerajaan negeri menegaskan tiada pusat data menerima bekalan air di kawasan Simpang Renggam dan Benut, malah lokasi berkenaan bukan kawasan pembangunan pusat data.