ALOR SETAR, 28 Januari- Persatuan Seni Silat Cekak Malaysia (PSSCM) mencatat sejarah tersendiri apabila membuka Galeri Silat yang pertamanya di Muzium Negeri Kedah di Alor Setar.
Dikenali sebagai 'Galeri PSSCM', ia dibangunkan hasil kerjasama antara PSSCM dan Lembaga Muzium Negeri Kedah yang memaparkan pelbagai ilmu berkaitan seni mempertahankan diri dan dibuka kepada para pengunjung bermula hari ini.
Pengerusi Lembaga Muzium Negeri Kedah, Datuk Mohd Salleh Saidin berkata galeri tersebut beroperasi di tingkat tiga Muzium Negeri Kedah dan akan berada di muzium tersebut selama tempoh lima tahun.
Beliau berkata, ia bakal menjadi tarikan baharu kepada para pengunjung khususnya pelancong luar yang berkunjung ke negeri itu untuk melihat dengan lebih dekat seni mempertahankan diri.
Katanya, impak penubuhan galeri itu juga akan membangunkan institusi kebudayaan silat dengan mengumpul dan menempatkan sumber rujukan bagi tujuan penyelidikan dan pembangunan (R&D).
“Dengan adanya galeri PSSCM ini ia akan menjadi nilai tambah di muzium ini dan menjadi orang kata hub informasi kepada pengunjung yang ingin mengetahui dengan lebih lanjut tentang Persatuan Seni Silat Cekak Malaysia.
"Jadi, saya menyeru kepada pengunjung, orang ramai dan juga pelancong untuk datang ke Muzium Kedah ni,"katanya.
Datuk Mohd Salleh Saidin dan Datuk Maideen Kadir Shah ditemui pemberita selepas merasmikan Galeri PSSCM di Muzium Negeri Kedah, Alor Setar
Beliau yang juga Exco Pelancongan, Kebudayaan dan Keusahawanan Negeri Kedah bercakap kepada pemberita selepas merasmikan Galeri PSSCM di Muzium Negeri Kedah, Alor Setar.
Pada majlis itu, beliau turut menyaksikan Majlis Serah Tapak antara PSSCM selaku pempamer dan Lembaga Muzium Negeri Kedah.
Sementara itu, Guru Utama dan Presiden PSSCM, Datuk Maideen Kadir Shah berkata, kewujudan galeri tersebut juga amat signifikan dan menarik kerana Seni Silat Cekak merupakan ilmu mempertahankan diri yang berasal dari Istana Negeri Kedah iaitu di zaman pemerintahan Sultan Kedah ke 22, Sultan Ahmad Tajuddin Halim Shah II.
Silat Cekak telah diamalkan oleh Panglima Kanan Kerajaan Negeri Kedah iaitu Panglima Ismail atau nama sebenarnya Wan Ismail Wan Long sekitar tahun 1897.
“Yang sangat berharga ialah kerana cara kita menyediakan pameran itu secara interaktif. Maknanya kita kecilkan ruang, kita minimumkan ruang dan kita maksimumkan maklumat.
"Jadi saya rasa itu ia akan memudahkan seluruh pengunjung dan pentadbir, apa ni pengkaji-pengkaji yang ingin tahu bagaimana nak membangunkan, apakah kelebihan-kelebihan ilmu silat maka mereka dapat maklumat daripada data-data yang telah kita sediakan,"katanya.
Pihaknya turut merancang untuk mengadakan sambutan Jubli Intan 60 tahun PSSCM pada tahun 2025 di Kedah.
Ia bersempena Tahun Melawat Kedah 2025.