GUA MUSANG, 10 Januari - Lebih 400 penduduk Orang Asli hidup dalam kebimbangan apabila sekumpulan gajah liar mengamuk merosakkan enam buah rumah buluh yang dibina di kawasan kebun di Kampung Mendrod, Pos Brooke, di sini.
Sejak Ahad lalu, setiap malam dan awal pagi gajah liar berkenaan akan ke kawasan rumah buluh penduduk sebelum merobohkan dinding buluh untuk mencari makanan dan memusnahkan tanaman seperti ubi kayu serta pisang.
Menurut penduduk Kampung Mendrod, ancaman sekumpulan lapan ekor gajah liar itu bukan masalah baharu apabila kebun serta kampung mereka sering dikunjungi haiwan itu sejak tahun 2018.
Susulan bimbang dengan keselamatan nyawa, penduduk kampung telah membuat laporan kepada pihak Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) dan Polis untuk tindakan selanjutnya, semalam.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Gua Musang Superintendan Sik Choon Foo mengesahkan menerima laporan yang dibuat penduduk Orang Asli dan menyerahkan kepada Jabatan Perhilitan untuk tindakan selanjutnya.