
KUALA LUMPUR, 11 April – Kompaun RM100,000 terhadap Rapid Rail Sdn. Bhd. dikekalkan, susulan insiden di laluan LRT berhampiran Stesen KLCC menghala ke Stesen Kampung Baru pada 24 Mei 2021.
- Insiden menyebabkan puluhan penumpang cedera.
- Kegagalan penyelenggaraan dikesan, mendorong tindakan penguatkuasaan di bawah Seksyen 101(10) Akta Pengangkutan Awam Darat 2010.
- Gangguan teknikal pada sistem isyarat rel; isyarat tidak boleh dibaca dua arah menyebabkan operasi tren terganggu.
- APAD tekankan tindakan untuk memastikan pematuhan piawaian penyelenggaraan, latihan mencukupi, akauntabiliti dan keselamatan sistem rel.
Insiden terbabit mengakibatkan puluhan penumpang cedera.
Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) menerusi kenyataan memaklumkan tindakan itu dibuat mengikut Seksyen 101(10) Akta Pengangkutan Awam Darat 2010 (Akta 715) selepas mendapati berlaku kegagalan dalam aspek penyelenggaraan.
Menurut APAD, kejadian kira-kira pukul 8.47 malam itu berpunca daripada kepincangan teknikal apabila limb rail berada dalam keadaan tidak boleh dibaca di kedua-dua arah, sekali gus menjejaskan operasi tren.
“Rapid Rail selaku pengendali berlesen gagal memastikan jajaran kereta api berada dalam keadaan selamat untuk pengoperasian,” menurut kenyataan itu.
Kegagalan tersebut menyebabkan insiden melibatkan seramai 213 penumpang, dengan 65 daripadanya dilaporkan mengalami kecederaan.
APAD menegaskan kompaun dikenakan sebagai langkah tegas bagi memastikan semua pengendali mematuhi piawaian teknikal penyelenggaraan, selain menyediakan latihan mencukupi kepada kakitangan terlibat.
Tambah agensi itu, keputusan tersebut dibuat dengan mengambil kira kepentingan awam serta prinsip akauntabiliti demi menjamin integriti dan keselamatan sistem pengangkutan rel negara terus terpelihara.