KANGAR, 28 Jun- Seorang wanita warga tempatan ditahan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Perlis selepas disyaki gagal mengikrar sejumlah wang bernilai RM65,160 yang dibawa bersamanya ketika memasuki pintu sempadan negara di ICQS Padang Besar, 24 Jun lalu.
Kesalahan itu berjaya dikesan selepas beg berkenaan dimasukkan ke dalam mesin pengimbas dan pegawai membuat pemeriksaan lanjut selepas, tindakan wanita terbabit dilihat mencurigakan.
Pengarah JKDM Perlis, Ismail Hashim berkata hasil pengakuan wanita berusia 47 tahun itu mendapati bahawa wanita itu sama sekali tidak mengetahui mengenai kesalahan berkenaan selain lebih selesa menyimpan wang miliknya dengan cara tersebut.
"Kes disiasat mengikut Seksyen 28(B) berkaita AMLA. Baik masuk atau keluar negara kena ikrar. Itu adalah prosedur yang ditetapkan kerajaan bukan kastam dan perlu ada kelulusan Bank Negara Malaysia (BNM)," kata Ismail kepada pemberita dalam satu sidang media berkaitan penahanan wanita berkenaan serta rampasan ganja yang bertempat di ibu negeri itu.
Dalam satu kes berasingan, JKDM Perlis juga berjaya merampas 84.7 kilogram ketulan mampat dipercayai ganja ditinggalkan di pesisir pantai berdekatan Simpang Empat, Perlis.
Kesemua ganja berkenaan bernilai RM262,477 dan boleh digunakan oleh lebih 420,000 penagih dadah.