SUBANG JAYA, 13 November - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) tingkat fungsi Aplikasi PriceCatcher dengan memperkukuh perkongsian data harga barangan dengan dua pasar raya iaitu Mydin dan Redtick.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali berkata perkongsian data harga itu merupakan inisiatif etika perniagaan yang tidak mengambil kesempatan terhadap pengguna.
"Sebelum ini, data harga dalam aplikasi PriceCatcher ini diperoleh melalui Pegawai Pemantau Harga (PPH) di lapangan yang terhad dari segi liputan kawasan dan premis.
"Dengan pemeteraian memorandum persefahaman (MoU) bersama MYDIN dan Redtick, aplikasi ini akan menerima perkongsian data harga secara automatik dari pasar raya terlibat," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Tandatangan MoU Perkongsian Data Harga antara KPDN bersama dua pasar raya berkenaan di sini hari ini.
Aplikasi PriceCatcher sebelum ini memaparkan maklumat harga bagi 480 barangan keperluan pengguna yang dikemas kini secara harian, mingguan dan bulanan.
Sehingga 7 November lalu, aplikasi ini telah dimuat turun oleh hampir 460,000 pengguna seluruh negara, dengan 10 ribu pengunjung aktif setiap minggu.