fb fb fb fb fb

Fokus tingkat kerjasama Malaysia-Jepun, PM sertai Sidang Kemuncak Peringatan ASEAN-Jepun

Datuk Seri Anwar ketika ditemui pemberita selepas menunaikan solat Jumaat di Surau Al-Kauthar, Bandar Baru Bangi.

BANGI, 15 Disember - Malaysia berhasrat mempertingkatkan kerjasama ekonomi, pelaburan dan perdagangan dengan Jepun yang akan direalisasi menerusi Sidang Kemuncak Peringatan ASEAN-Jepun yang berlangsung selama tiga hari bermula esok di Tokyo. 

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang akan berlepas ke Tokyo hari ini bagi menghadiri sidang kemuncak itu berkata kesempatan itu akan digunakan kerajaan untuk mengadakan pertemuan bersama Perdana Menteri Jepun, Fumio Kishida.

"Ini sempena 50 tahun ASEAN, jadi PM Jepun minta kita adakan pertemuan dan kunjungan hormat kepada Jepun. Perbincangan ini tentunya untuk meningkatkan kerjasama ekonomi, pelaburan dan perdagangan dengan Jepun," katanya kepada pemberita selepas menunaikan solat Jumaat di Surau Al-Kauthar, Bandar Baru Bangi, di sini.

Selama lapan tahun berturut-turut sejak tahun 2015, Jepun menjadi rakan dagang keempat terbesar Malaysia.

Pada tahun 2022, perdagangan dengan Jepun bernilai RM181.51 bilion (US$4.21 bilion), menyumbang 6.4 peratus daripada keseluruhan perdagangan Malaysia.

Sehingga Jun 2023, sejumlah 2,778 projek syarikat-syarikat Jepun telah dilaksanakan di Malaysia dengan pelaburan sejumlah RM91.89 bilion (US$27.43 bilion).

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN