fb fb fb fb fb

Fokus kemudahan asas di Labuan berbanding pembangunan infrastruktur - PM

Perdana Menteri menyampaikan kotak sumbangan dari Pusat Pungutan Zakat MAIWP kepada golongan asnaf di Labuan/FOTO Perdana Menteri

LABUAN, 7 Disember - Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mahu kemudahan asas di wilayah bebas cukai itu diberi keutamaan berbanding projek pembangunan infrastruktur.

Anwar berkata, berkaitan cadangan pembinaan jambatan yang menelan bilion ringgit bukan keutamaan kerajaan meskipun jambatan itu akan menghubungkan Labuan ke tanah besar Sabah.

"Pembinaan jambatan Labuan yang menelan belanja melebihi RM6 bilion itu adalah cadangan lama.

"Kita perlu tengok keupayaan dan jumlah peralihan penduduk dan tidak memungkinkan pembinaan jambatan itu ekonomik.

"Dalam perancangan pembangunan Labuan, kita mengambil langkah-langkah menyegerakan isu-isu rakyat yang penting iaitu bekalan air.

"Saya tidak boleh menerima kenyataan negara memacu pembangunan ekonomi pesat dan menarik pelaburan beratus bilion ringgit tetapi masalah asas masih belum diselesaikan," katanya.

Anwar berkata demikian ketika berucap di Majlis Ramah Mesra Perdana Menteri di Dewan Konvensyen Ujana Kewangan Labuan di sini pada Khamis.

Tambah beliau, sebanyak RM300 juta diperuntukkan bagi menyelesaikan masalah gangguan bekalan air yang berlarutan dalam Belanjawan 2024 Malaysia MADANI.

Katanya, walaupun negara menghadapi kemelesetan ekonomi, beliau memberi jaminan usaha memperjuangkan nasib rakyat tetap menjadi keutamaan negara.

Dalam pada itu, beliau berkata, bagi memacu pembangunan ekonomi Labuan, satu persidangan membabitkan peranan pusat perniagaan dan kewangan antarabangsa Labuan (Labuan IBFC), Bank Negara (BNM), Suruhanjaya Sekuriti (SC) dan Bursa Malaysia akan diadakan Januari depan.

"Insya-Allah, perancangan ini antara dirancang bagi mengangkat semula peranan Labuan sebagai pusat perniagaan dan kewangan tersohor di rantau ini," katanya.

Dianggarkan lebih 2,000 warga Labuan hadir pada majlis itu yang terdiri daripada kakitangan kerajaan, swasta, pemimpin dan masyarakat setempat.
 
Terdahulu Perdana Menteri tiba di Lapangan Terbang Labuan kira-kira 4-petang disambut Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah. Sarawak dan Tugas-Tugas Khas) Datuk Armizan Ali.
 
Turut mengiringi, Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor, Ahli Dewan Negara merangkap Pengerusi Perbadanan Labuan Senator Tan Sri Datuk Seri Panglima Anifah Aman, Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Zuki Ali dan Ahli Parlimen Labuan Datuk Suhaili Abdul Rahman.

GRACE AISYAH KEDAYAN