fb fb fb fb fb

FMF25 tekan kepentingan kerangka industri mineral

Pemprosesan nadir bumi dan mineral di Terra Mineral Lab Sdn Bhd (TML)

KUALA LUMPUR, 18 Januari- Kepentingan kerangka industri mineral lestari dibangkitkan menerusi Future Minerals Forum 2025 (FMF25) berikutan ia mempunyai peranan penting dalam peralihan tenaga dan kemajuan teknologi secara serantau dan global.

Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, peranan itu termasuk membincangkan mengenai mineral kritikal, pengurusan sumber mineral, tenaga boleh baharu, perlombongan lestari dan mempromosikan integrasi dalam industri berkenaan.

"Saya juga menekankan keperluan untuk dunia menangani ketegangan geopolitik bagi memanfaatkan teknologi terbaik pada kos yang lebih rendah.

"Acara ini merupakan platform penting untuk memupuk kerjasama antarabangsa dan membangunkan sektor mineral, selaras dengan matlamat untuk kelestarian dan pertumbuhan ekonomi global," menurut kenyataan itu.

Dalam pada itu beliau dan delegasi Malaysia melawat institusi penyelidikan kebangsaan yang ditubuhkan untuk memajukan pembangunan saintifik dan teknologi di Arab Saudi King Abdul Aziz City for Science and Technology (KACST).

KACST memainkan peranan penting dalam menyokong projek-projek strategik, memberi geran penyelidikan, dan memupuk kerjasama antara institusi akademik, kerajaan, dan sektor swasta.

"KACST berfungsi sebagai pusat inovasi dan menjalankan penyelidikan dalam pelbagai bidang termasuk kecerdasan buatan dan semikonduktor," tambah kenyataan itu.

Pada masa sama Nik Nazmi turut mengadakan pertemuan dua hala dengan Menteri Industri dan Sumber Mineral Arab Saudi, Bandar Alkhorayef.

"Dalam pertemuan tersebut, saya menzahirkan penghargaan atas jemputan Kerajaan Arab Saudi dan ia merupakan peluang yang baik untuk mengukuhkan kerjasama antara kedua-dua negara dalam sektor mineral.

"Beliau mengiktiraf Malaysia sebagai negara sahabat yang rapat dengan Arab Saudi dan membuka peluang kepada pemain-pemain industri Malaysia untuk terlibat dalam usaha pembangunan industri mineral di negara berkenaan," menurut kenyataan itu.

Beliau juga berkesempatan berkongsi mengenai dasar pembangunan mineral negara, persaingan geopolitik dunia dan cabaran pembangunan industri mineral menerusi temu bual dengan agensi media seperti Saudi Agency Press, FMF TV, CNBC Africa, CCTV, Phoenix TV dan Asharq Bloomberg.

FMF25 yang diadakan selama tiga hari pada 14 hingga 16 Januari itu menerima penyertaan dari 89 negara terdiri daripada lebih 20,000 peserta dan menampilkan 250 ahli panel dalam lebih daripada 70 sesi.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI