
KUALA LUMPUR, 13 Januari – Kementerian Pengangkutan mengumumkan peluasan inisiatif FLYSiswa 2026 dengan memperkenalkan empat kategori baharu, sekali gus memberi manfaat kepada kira-kira 60,000 pelajar Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) dengan jumlah peruntukan sebanyak RM24 juta.
- Tambah empat kategori baru seperti ASWARA, ILJTM, Universiti Separa Kerajaan dan IPTN untuk mengiktiraf peranan institusi.
- Setiap pelajar layak memperoleh baucar digital RM400 boleh digunakan berulang kali mengikut nilai tambang penerbangan.
- Program membantu kurangkan beban kewangan pelajar untuk penerbangan balik Sabah dan Sarawak, menunjukkan prihatin kerajaan.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, penambahan empat kategori baharu itu merangkumi Akademi Seni Budaya Dan Warisan Kebangsaan (ASWARA), Institusi Latihan Jabatan Tenaga Malaysia (ILJTM), Universiti Separa Kerajaan dan Institusi Pengajian Tinggi Milik Kerajaan Negeri (IPTN).
Katanya, penambahan kategori baharu itu dijangka memanfaatkan tambahan seramai 6,278 orang pelajar dan pada masa yang sama mengiktiraf peranan penting institusi-institusi ini dalam pembangunan modal insan negara.
“Jadi keseluruhan yang kita anggarkan pelajar yang layak untuk program ini adalah 60,000 orang tetapi mengikut pengalaman kita pada tahun pertama pelaksanaannya hanya 73 peratus sahaja yang mohon.
“Namun pada tahun lepas lebih baik iaitu sebanyak 80 peratus yang disahkan layak dan tahun ini kita harap semua yang layak untuk mohon,” katanya.
Beliau menyatakannya kepada pemberita selepas merasmikan Karnival Pengangkutan Siswa MADANI dan FLYsiswa 2026 di Universiti Puta Malaysia (UPM), hari ini
Anthony menyifatkan program itu sebagai usaha membantu pelajar-pelajar mengurangkan beban kewangan mereka untuk membeli tiket penerbangan balik ke Sabah dan Sarawak khususnya.
“Ini adalah satu inisiatif membuktikan kerajaan prihatin terhadap kebajikan pelajar,” katanya.
Inisiatif FLYSiswa merupakan perkhidmatan penerbangan domestik melibatkan laluan antara Semenanjung, Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan.
Melalui inisiatif Flysiswa, setiap pelajar yang layak akan menerima baucar digital bernilai RM400 daripada salah satu syarikat penerbangan yang terlibat, iaitu Malaysia Airlines Berhad, AirAsia Berhad dan Batik Air termasuk Firefly dan Air Borneo (dahulunya dikenali sebagai MASwings).
Sejak pelaksanaan FLYSiswa pada 2023 hingga akhir 2025, seramai 119,790 pelajar atau 75.53 peratus daripada 158,600 pelajar yang layak telah menerima manfaat daripada bantuan subsidi tiket penerbangan ini.
Anthony berkata, baucar FLYSiswa bernilai RM400 tidak terhad kepada satu tiket penerbangan sahaja dan boleh digunakan beberapa kali mengikut nilai tambang.
“Ia mengikut harga tiket, katakan tiket itu hanya RM180 jadi pelajar boleh pakai untuk kali kedua dan seterusnya.
“Sebab ada penerbangan kadang-kadang kalau dia beli awal macam tambang murah RM100 lebih pun boleh dapat , umpamanya penerbangan Kuala Lumpur ke Kota Kinabalu.
“Jadi terpulang kepada pelajar-pelajar itu juga, kita nak bagi kebebasan kepada mereka untuk pilih penerbangan, oleh sebab itu kita bagi baucar, bukannya tiket,” katanya.
Anthonya juga berkata, kerajaan masih belum bersedia untuk memberikan sebarang komitmen bagi meluaskan program itu kepada pelajar Instutusi Pengajian Tinggi Swasta (IPTS) kerana jumlah pelajar yang besar selain menghadapi kekangan tidak mempunyai data berpusat berkaitan maklumat pelajar.