fb fb fb fb fb

Firma guaman antara terlibat isu pindah milik tanah di Klang

Amirudin Shari pada Sidang Dewan Undangan Negeri Selangor hari ini

SHAH ALAM, 19 Februari- Firma guaman dikenal pasti sebagai antara entiti terlibat dalam isu pindah milik tanah tidak sah di Selangor membabitkan Pejabat Daerah dan Tanah Klang yang mengakibatkan kerugian melebihi RM7 juta.

Menteri Besar Datuk Seri Amirudin Shari berkata pihak berkenaan terlibat secara langsung dalam urusan tersebut memandangkan peranan mereka dalam melengkapkan proses pindah milik tanah.

"Berdasarkan kenyataan pihak berkuasa dan siasatan yang dimaklumkan, isu ini bukan sahaja berlaku di pejabat tersebut, tetapi turut melibatkan firma guaman.

"Peguam berperanan dalam urusan (pindah milik) tanah, dan sudah pasti terdapat pihak lain di luar sistem biasa yang turut terlibat," katanya.

Beliau menegaskan kerajaan negeri komited menyelesaikan isu berkenaan bagi mengelak risiko pampasan serta kerugian lebih besar.

Amirudin berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Ahli Dewan Negeri Batu Tiga, Danial Al-Rashid Haron Aminar Rashid pada Sidang Dewan Undangan Negeri Selangor di sini hari ini.

SITI AISHAH MD ISA