FIMI perkukuh Malaysia destinasi penggambaran antarabangsa

Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching

KUALA LUMPUR, 11 Februari -Inisiatif Film in Malaysia Incentive (FIMI) terus memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai destinasi penggambaran bertaraf antarabangsa, sekali gus menyumbang sebanyak RM2.75 bilion pelaburan asing bagi tempoh 2013 hingga 2025.

RINGKASAN BERITA AI
  • FIMI menawarkan rebat tunai 30 hingga 35 peratus kepada produksi tempatan dan antarabangsa melalui FINAS.
  • Inisiatif ini mewujudkan sekitar 31,050 peluang pekerjaan kepada tenaga kerja tempatan berkemahiran TVET.
  • Negara penyumbang utama pelaburan termasuk Amerika Syarikat, China, India dan Australia.
  • Penggambaran antarabangsa termasuk animasi, rancangan realiti dan siri televisyen masa hadapan di Malaysia.

Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching berkata, FIMI merupakan insentif kerajaan menerusi Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) yang menawarkan rebat tunai antara 30 hingga 35 peratus kepada syarikat produksi tempatan dan antarabangsa bagi perbelanjaan penggambaran di Malaysia.

“Berdasarkan data yang direkodkan oleh FINAS bagi tempoh 2013 hingga 2025, jumlah pelaburan asing yang berjaya ditarik masuk melalui FIMI adalah dianggarkan sebanyak RM2.75 bilion.

Pelaburan ini telah mewujudkan kira-kira 31,050 peluang pekerjaan, yang sebahagian besarnya memanfaatkan tenaga kerja tempatan berkemahiran Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) merangkumi kru teknikal, animasi, pasca produksi dan sokongan produksi,” katanya dalam sesi soal jawab di Dewan Rakyat.

Tambah beliau, antara negara utama yang menyumbang kepada pelaburan ini ialah Amerika Syarikat, China, India dan Australia.

Antara produksi antarabangsa yang menjalankan penggambaran di Malaysia termasuk Transformer Cyber World (Animation)pada 2025, Survival Series Europe (Reality Show) 2025, Tempting Fortune (Reality Show) 2025 serta Lord of The Flies Series yang dijadualkan pada 2026.

Beliau berkata, pencapaian itu membuktikan Malaysia memiliki kepakaran teknikal, tenaga kerja mahir dan kemudahan bertaraf antarabangsa yang mampu menarik lebih banyak produksi global pada masa hadapan.