JOHOR BAHRU, 2 November - Festival Usahawan Nusantara Johor 2023 merupakan antara komitmen kerajaan negeri dalam meningkatkan usaha mempromosi produk tempatan ke negara jiran, Indonesia.
Usaha tersebut membawa pulangan besar dan limpahan ekonomi kepada usahawan tempatan dan negara.
Exco Belia, Sukan, Usahawan, Koperasi dan Sumber Manusia Negeri, Mohd Hairi Md Shah berkata antara lokasi berpotensi ialah di Kepulauan Riau.
"Terima kasih kepada negara jiran tetangga kita, Indonesia, yang menampilkan beberapa reruai produk Industri Kecil Sederhana (IKS) mereka untuk padanan mereka untuk membawa barang produk mereka ke pasaran Johor dan pasaran Johor juga untuk dibawa ke kepulauan Riau," katanya kepada pemberita selepas menyempurnakan Festival Usahawan Nusantara Johor 2023, di sini.
Kerjasama turut dijalin dengan Konsulat Indonesia di Johor Bahru bagi menjalankan penyelarasan antara agensi usahawan di Batam berkenaan pemasaran produk tempatan.
Sementara itu, Konsul General Indonesia di Johor, Sigit Suryanto berkata festival itu dilihat dapat meningkatkan lagi hubungan dagang antara Indonesia dan Johor.
"Kegiatan seperti ini kita harap dapat meningkatkan hubungan dagang ekonomi Indonesia dan Johor khususnya terutama di daerah perbatasan, kerana masih banyak pergerakan yang akan kita lakukan," kata Sigit.