
PUTRAJAYA, 24 Februari – Festival Ramadan Putrajaya 2026 (FRP26) bukan sahaja membuka peluang ekonomi kepada peniaga kecil, tetapi menghidupkan aktiviti komuniti dengan memanfaatkan ruang awam secara inklusif.
- FRP26 memberi peluang ekonomi kepada peniaga kecil dan merancakkan aktiviti komuniti di ruang awam secara inklusif.
- Festival menyokong aspirasi Bandar Hijau Rendah Karbon melalui transaksi tanpa tunai, pengurangan plastik dan beg guna semula.
- FRP26 seiringkan inisiatif sosial dan komuniti dengan pembangunan bandar untuk kesejahteraan rakyat.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh berkata festival itu menyokong aspirasi Putrajaya sebagai Bandar Hijau Rendah Karbon melalui transaksi tanpa tunai, pengurangan plastik sekali guna, penggunaan beg guna semula dan kempen mengelakkan pembaziran makanan.
“Festival Ramadan Putrajaya 2026 yang bertemakan ‘Seindah Ramadan, Harmoni Lebaran’ itu merupakan acara signifikan bersempena kalendar Tahun Melawat Malaysia 2026, Sambutan Hari Wilayah Persekutuan dan Ulang Tahun ke-30 Perbadanan Putrajaya.
“Saya mengajak anda semua untuk memeriahkan FRP26 yang telah berlangsung sejak 18 Februari hingga 19 Mac di Presint 3 ini. Putrajaya bukan sekadar pusat pentadbiran negara, tetapi simbol perkhidmatan awam yang bekerja setiap hari demi kesejahteraan rakyat.
“Kerajaan akan terus memperkukuh inisiatif sosial dan komuniti agar pembangunan bandar seiring dengan kesejahteraan rakyat,” beliau berkata demikian pada Program Nur Ramadan Wilayah Persekutuan.
Hadir sama Timbalan Menteri, Datuk Lo Su Fui dan Presiden Perbadanan Putrajaya, Datuk Mohd Sakeri Abdul Kadir.