fb fb fb fb fb

Feri Sri Tanjong 1 bakal beroperasi sebelum Aidilfitri

Feri Sri Tanjong 1 yang baharu pada majlis penyerahannya di Jeti Jabatan Kerja Raya (JKR) Pengkalan Kubor/ BERNAMA

TUMPAT, 11 Mac- Feri Sri Tanjong 1 bernilai hampir RM8 juta dijangka beroperasi sebelum sambutan Aidilfitri selepas mendapat kelulusan Sijil Penumpang dari Jabatan Laut Malaysia.
 
Pengarah Jabatan Kerja Raja (JKR) Kelantan, Ir Nik Soh Yaacob berkata, feri baharu jenis RoRo itu tiba awal Mac bagi mengantikan feri sedia ada yang telah berusia lebih 37 tahun.
 
"Kita baru menerima feri ini pada 4 Mac. Ia baru sampai ke jeti ini. Jadi ia merupakan satu hadiah istimewa kepada rakyat Kelantan dari segi perjalanan. Insya-Allah sebelum ini kita mengharapkan satu feri dari Thailand sekarang boleh bersilih ganti," katanya kepada pemberita di sini.
 
Terdahulu berlangsung Majlis Penyerahan Feri Menghubungkan Pengkalan Kubor-Tak Bai di Jeti JKR Feri Pengkalan Kubor di sini.

Feri baharu itu mampu menampung 58 penumpang dan lapan hingga 10 kenderaan ringan atau sebuah bas 44 penumpang atau empat buah lori lima tan atau dua buah lori 10 tan.
 
Perkhidmatan Feri Sri Tanjong 1 dijangka akan memberi impak pelancongan Malaysia-Thailand dan manfaatnya kepada penduduk terutamanya warga Kelantan.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI