fb fb fb fb fb

Feri bawa 547 penumpang terkandas

ALOR SETAR, 23 Oktober- Sebuah feri penumpang dari Pulau Langkawi ke Kuala Kedah membawa 547 penumpang terkandas di Muara Kuala Kedah akibat air surut pada pukul 4.15 petang tadi.

Pengarah Zon Maritim Kuala Kedah, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim) Zon Maritim Kuala Kedah Komander Maritim Noor Azreyanti Ishak berkata, setakat pukul 7.00 malam tadi kerja-kerja mengeluarkan kesemua penumpang feri ke daratan giat dijalankan.

Katanya dalam kenyataan, terdapat beberapa penumpang mengalami sesak nafas dan bantuan awal medical evacuation (MEDEVAC) ke atas penumpang tersebut berjaya dilakukan melibatkan aset bot Zon Maritim Kuala Kedah pada pukul 5.37 petang.

Aset terlibat ialah Bot Perkasa 1224 Maritim Malaysia serta dibantu beberapa bot nelayan tempatan berikutan hanya bot kecil sahaja boleh merapat di feri tersebut dalam usaha untuk membawa penumpang.

Turut membantu Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Kedah (JBPM).

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat JBPM Kedah, Penguasa Kanan Bomba I Mohamadul Ehsan Mohd Zain berkata, pusat gerakan operasi menerima panggilan kecemasan daripada MERS kejadian feri tersangkut di beting lumpur berhampiran jeti kira-kira pukul 4.55 petang.

(Foto fail)

Satu jentera bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Jalan Raja JBPM dengan dua pegawai dan enam anggota dikejarkan untuk kerja-kerja menyelamat.

Sementara itu, Pengurus Sumber Manusia dan Operasi Konsortium Ferry Line Ventures Sdn. Bhd., Kapten Baharin Baharom berkata berdasarkan laporan awal, kejadian berlaku ketika air laut berada pada paras 1.7 meter iaitu paras yang masih selamat untuk pelayaran.

Media Baharu