
KUALA LUMPUR, 23 Februari- Fenomena “poket bocor” ketika bulan Ramadan kembali mencuri perhatian apabila trend pembelian berlebihan di bazar dan platform dalam talian menyebabkan ramai berbelanja melebihi kemampuan.
- Tetapkan bajet sebelum berbelanja untuk elak perbelanjaan berlebihan di bazar dan platform dalam talian.
- Sediakan jadual pemakanan sepanjang Ramadan bagi mengurangkan pembaziran dan kecenderungan "double meal".
- Gunakan sistem agihan pendapatan 40-30-30 untuk keperluan dapur, persiapan Hari Raya dan simpanan.
Mekanik kewangan, Dr Abuayubul Ansari berkata antara punca utama ialah fenomena “double meal”, yang mana walaupun berpuasa sepanjang hari, ramai membeli juadah berbuka secara berlebihan seolah-olah mengambil dua kali hidangan.
“(Ditambah pula) semasa dalam perjalanan pulang, kita membeli sedikit di satu gerai, sedikit di gerai lain dan jumlahnya boleh mencecah RM50 hingga RM60 sehari tanpa disedari,” katanya.
Jelas beliau lagi, faktor psikologi juga memainkan peranan apabila individu berbelanja dalam keadaan lapar menjelang waktu berbuka, meningkatkan kecenderungan membeli secara berlebihan.
“Mata kita cenderung tergoda melihat pelbagai juadah kerana paras gula menurun terutama menjelang waktu berbuka, menyebabkan kita ingin membeli lebih banyak,” katanya.
Bagi mengelakkan tekanan kewangan, beliau menggariskan tiga peraturan ’emas’ iaitu menetapkan bajet sebelum berbelanja, menyediakan jadual pemakanan sepanjang Ramadan dan sistem agihan pendapatan.
“Contohnya, kita perlu menetapkan berapa yang akan dibelanjakan sebelum keluar, contohnya maksimum RM100 atau RM200 sahaja. Ini penting untuk mengawal diri dan mengelak berbelanja berlebihan.
“Langkah seterusnya – sediakan jadual pemakanan sepanjang Ramadan — agar pembelian dapat dirancang dengan lebih sistematik,” katanya.
Beliau turut mencadangkan pendekatan ’40-30-30′ dalam dua hingga tiga bulan sebelum Syawal iaitu 40 peratus untuk keperluan dapur, 30 peratus persiapan Hari Raya dan 30 peratus untuk komitmen dan simpanan.
“(Ketiga) wujudkan sistem agihan pendapatan; setiap kali gaji, agihkan terlebih dahulu berapa yang diperlukan untuk keperluan asas, persediaan Hari Raya dan simpanan,” katanya.
Tegas Dr Abuayubul, bulan Ramadan seharusnya menjadi medan melatih disiplin diri dan pengurusan kewangan berhemah, bukannya musim meningkatkan hutang yang boleh menjejaskan kestabilan kewangan keluarga.