fb fb fb fb fb

Fenomena air pasang besar punca banjir di Port Dickson

Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun / Foto RTM

GEMENCEH, 25 Ogos - Banjir yang melanda daerah Port Dickson semalam dilaporkan berpunca daripada fenomena air pasang besar.

Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata fenomena tersebut merupakan yang paling tinggi pernah direkodkan, disertai dengan hujan lebat berterusan selama empat jam yang menyumbang kepada kejadian banjir tersebut.

"Bukan masalah perparitan menjadi isu utama, tetapi apabila air tidak dapat mengalir ke laut disebabkan oleh paras air laut yang lebih tinggi berbanding daratan. Ini menyebabkan air bertakung dan tidak dapat keluar, mengakibatkan banjir di kawasan rendah," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan Istiadat Konvokesyen Khatam Hafaz Al-Quran Ke-13 di Institut Tahfiz Al-Quran Negeri Sembilan, di sini.

Tambah Aminuddin, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) turut diminta untuk meneliti semula kejadian banjir tersebut agar tidak berulang pada masa hadapan.

Setakat pukul 12 tengah hari tadi, dua buah Pusat Pemindahan Sementara (PPS) telah dibuka akibat banjir, iaitu di Balai Raya Permatang Pasir dan Balai Raya Tanjung Agas yang melibatkan 23 buah keluarga dengan 87 penduduk terjejas.

Selain itu, sebuah PPS lagi telah dibuka di Dewan Bagan Pinang akibat bencana tanah runtuh, yang melibatkan sebuah keluarga dengan enam penduduk terjejas.

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN