PUTRAJAYA, 15 Oktober- Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) mengeluarkan arahan kepada anggotanya di seluruh negara bagi memantau kawasan rendah pantai, susulan fenomena air pasang besar yang diramal mulai esok.
Arahan itu dikeluarkan susulan kemuncak air pasang besar terutama di negeri-negeri Pantai Barat.
Menurut Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Datuk Nor Hisham Mohammad, pemantauan turut meliputi Sungai Klang di ibu negara, khususnya kenaikan paras air yang boleh menyebabkan banjir kilat.
"Kita harap cuaca bertambah baik kerana esok 16 hari bulan bermulanya hujan lebat dan 18 hari bulan akan jadi 'pick'. Jadi, kita harap tidak berlaku kejadian hujan lebat yang menyebabkan banjir berlaku", katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Penyerahan Kenderaan Rasmi Proton kepada JBPM sempena IFCEM 2024 di Putrajaya.
Tambah beliau, arahan sama turut dikeluarkan kepada negeri yang dilanda banjir seperti Kedah, Perak dan Perlis serta Selangor supaya tindak balas segera dapat dilakukan.