fb fb fb fb fb

Fenomena air pasang besar: APM siap siaga 24 jam di lokasi berisiko

FOTO HIASAN

LANGKAWI, 17 Oktober - Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) daerah Langkawi siap siaga bagi menghadapi fenomena air pasang besar yang dijangka berlaku esok.

Antara kawasan berisiko ialah Kampung Bakau, Kelibang.

Menurut Pegawai Bencana Operasi dan Latihan APM Langkawi, Leftenan (PA) Mohd Faezie Abdul Aziz, seramai 30 anggota APM bersiap sedia 24 jam mulai petang ini bagi menghadapi sebarang kemungkinan bencana susulan fenomena luar biasa itu.

Selain melakukan pemantauan, APM turut mengadakan Op Ramah sebagai pendekatan memberikan nasihat dan mengedarkan risalah berkaitan keselamatan ketika bencana banjir kepada penduduk berisiko.

"Kemungkinan akan berlaku fenomena air pasang besar kerana akan berlaku pertembungan hujan lebat memandangkan ketika ini merupakan peralihan ke Monsun Timur Laut di samping cuaca tidak menentu," katanya ketika ditemui selepas mengadakan Op Ramah sekitar Kampung Bakau, Kelibang di Langkawi, hari ini.

Sebelum ini, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Kedah menerusi perkongsian di Facebooknya memuat naik infografik berkaitan fenomena tersebut yang dijangka berlaku selama tiga hari bermula 18 Oktober.

Infografik tersebut menyatakan bacaan paras air laut tertinggi dijangka mencecah tiga meter pada pukul 1.01 pagi, manakala pada pukul 1.10 tengah hari menurun kepada 2.8 meter dan berada pada paras 0.9 meter pada pukul 10.00 malam.

Trainee