
KUALA TERENGGANU, 27 Januari – Perbincangan melibatkan urusan tanah antara Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA) dan Kerajaan Negeri Terengganu kini memasuki fasa penting, apabila kedua-dua pihak menunjukkan kesediaan untuk mencari penyelesaian secara rundingan.
- Perbincangan tanah antara FELDA dan Kerajaan Negeri Terengganu berjalan dalam suasana positif dan saling memahami.
- Ahmad Shabery mengesahkan kemajuan dicapai tetapi butiran persetujuan belum boleh didedahkan.
- Penyelesaian jangka panjang melalui rundingan dan kelulusan lembaga serta kementerian disasarkan demi manfaat peneroka.
Menurut Pengerusi FELDA, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek, proses perbincangan yang dijalankan setakat ini berjalan dalam suasana positif dan saling memahami.
Jelasnya, beliau sendiri menyertai rundingan yang diadakan dan mengakui banyak kemajuan dicapai hasil perbincangan tersebut
Bagaimanapun, butiran berkaitan persetujuan yang dicapai atau tarikh akhir perbincangan belum boleh didedahkan kepada umum buat masa ini.
Tegasnya, FELDA dan Kerajaan Negeri Terengganu mengambil pendekatan rundingan secara berhemah, dengan matlamat mencari penyelesaian jangka panjang yang boleh diterima semua pihak.
“Insya-Allah, saya berharap dalam masa terdekat akan dicapai satu penyelesaian jangka panjang yang boleh diterima oleh semua pihak. Bagi FELDA, kita mesti..keputusan perlu melalui proses yang ditetapkan termasuk kelulusan lembaga dan kementerian berkaitan sekiranya melibatkan soal kewangan yang diberikan,”
Beliau menyatakannya selepas pelancaran Majlis Buffet Review Sinar Ramadan 2026 di Felda Residence Kuala Terengganu, di sini hari ini.
Rundingan antara FELDA dan Kerajaan Negeri Terengganu dijangka diteruskan dalam masa terdekat bagi mencapai satu penyelesaian muktamad yang memberi manfaat kepada semua pihak, khususnya peneroka.