FCoEE perluas kerjasama strategik perkasa pendidikan golongan asnaf di Perlis

Foto FCoEE

KANGAR, 3 Februari -Pusat Kecemerlangan Pendidikan Faizuddin (FCoEE) terus memperluas kerjasama strategik dalam usaha memperkasa ekosistem pendidikan di Perlis khususnya melibatkan golongan asnaf.

RINGKASAN BERITA AI
  • Perluasan kerjasama strategik antara FCoEE, IABCU dan Jabatan Pendidikan Negeri Perlis untuk memperkasa pendidikan golongan asnaf.
  • Pengukuhan Komuniti Pembelajaran Profesional dan penganjuran Seminar Kajian Tindakan serta Penyelidikan sebagai platform kolaboratif.
  • Penyediaan geran penyelidikan oleh FCoEE dan sokongan kepakaran IABCU untuk memastikan kelestarian dan kualiti pelaksanaan.

Terbaharu, mempergiat sinergi antara institusi pendidikan KPM dengan pihak berkepentingan, menerusi kerjasama bersama Institut Aminuddin Baki Cawangan Utara (IABCU) dan Jabatan Pendidikan Negeri Perlis bawah Teras Ke 5 Rancangan Pendidikan Malaysia.

Menurut Pengerusi Pusat Kecemerlangan Pendidikan Faizuddin (FCoEE), Profesor Emeritus Datuk Dr Kamarudin Hussin, pemerkasaan itu digerakkan melalui pengukuhan Komuniti Pembelajaran Profesional serta penganjuran Seminar Kajian Tindakan dan Penyelidikan sebagai platform kolaboratif berimpak tinggi dalam kalangan pendidik.

Inisiatif strategik itu berfungsi sebagai wahana memperkasa kompetensi profesional guru, membudayakan penyelidikan berasaskan amalan sebenar bilik darjah serta memperluas perkongsian amalan terbaik secara terancang dan berterusan.

“Melalui pendekatan kolaboratif dan berasaskan evidens, usaha ini diyakini mampu meningkatkan kualiti pengajaran dan pembelajaran secara holistik, sekali gus memacu kecemerlangan pendidikan negeri Perlis yang mampan, relevan dan berdaya saing,” katanya ketika dihubungi RTM.

Selain itu, FCoEE bersama Institut Aminuddin Baki Cawangan Utara akan menganjurkan Seminar Kajian Tindakan dan Penyelidikan pada awal September 2026 dengan sasaran penyertaan seramai 350 orang guru secara bersemuka dari seluruh negeri Perlis serta lebih 1,000 peserta secara dalam talian.

Pelaksanaan inisiatif tersebut disokong melalui pertemuan delegasi Institut Aminuddin Baki Cawangan Utara (IABCU) ke pejabat FCoEE yang diketuai oleh Pengarah Cawangan IABCU, Ayub Ahmad dan delegasi Jabatan Pendidikan Negeri Perlis.

Ia sekali gus memperkukuh kredibiliti, hala tuju strategik dan keberkesanan pelaksanaan program secara menyeluruh.

Bagi memastikan kelestarian, kualiti pelaksanaan dan impak berterusan, FCoEE menawarkan geran penyelidikan kepada pensyarah Institut Aminuddin Baki Cawangan Utara (IABCU), manakala pihak Institut Aminuddin Baki Cawangan Utara (IABCU) menyumbang kepakaran dalam bimbingan, konsultasi dan latihan profesional secara berfasa.

Majlis Konvensyen INFRA rai, tauliah 179 graduan

Artikel Tajaan